Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa mengesahkan kes tular pisang goreng yang didakwa dicampur kapur siling oleh seorang peniaga di Puchong berpunca daripada kesilapan kilang berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil siasatan mendapati kilang terbabit telah tersilap menggunakan kertas pembungkus kapur siling untuk membungkus tepung rangup yang digunakan peniaga tersebut.

“Berhubung perkara ini, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan siasatan ke atas premis yang menjual pisang goreng tersebut.

“Pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengambil tindakan ke atas premis tersebut oleh kerana beroperasi tanpa lesen.

"Hasil siasatan seterusnya menunjukkan tepung rangup tersebut telah dibekalkan oleh sebuah kilang di Kuala Lumpur dan didapati bahawa pihak kilang telah tersilap menggunakan kertas pembungkus kapur siling untuk membungkus tepung rangup berkenaan.

pisang goreng

“Dalam hal ini, KKM telah mengarahkan pihak kilang untuk menarik balik kesemua tepung rangup yang telah dibungkus dengan kertas pembungkus kapur siling dari pasaran,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sebelum ini, gambar sebuah premis menjual pisang goreng tular di media sosial dengan dakwaan peniaga berkenaan menggunakan tepung bercampur kapur siling untuk merangupkan makanan berkenaan.