MALAYSIA

Virus Nipah: Sukar merebak, namun risiko kematian tinggi

Astro Awani 28/01/2026 | 23:00 MYT
Nazarudin turut bimbang mengenai tempoh pengeraman virus didalam tubuh badan yang panjang sekitar empat hari atau dua minggu malah melangkau sebulan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kadar kematian akibat jangkitan virus Nipah boleh mencecah antara 40 hingga 75 peratus, walaupun kadar penularan jauh lebih rendah berbanding Covid-19.

Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Nazarudin Safian turut menegaskan, sehingga kini tiada vaksin khusus untuk penyakit tersebut dan hanya bergantung kepada langkah pengasingan.

“Covid-19 lebih mudah merebak tetapi kadar kematiannya hanya satu hingga dua peratus berbanding virus Nipah,” katanya semasa wawancara bersama Astro AWANI di segmen Pantau Agenda Reformasi
.

Dalam masa sama, Nazarudin menyuarakan kebimbangan mengenai tempoh pengeraman virus di dalam tubuh badan yang panjang sekitar empat hari atau dua minggu malah melangkau sebulan.

Menurut beliau, tempoh yang panjang itu berpotensi menyebabkan virus tersebut terlepas dikesan di pintu masuk utama negara, apabila pelawat dari luar negara tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Saringan yang sedang kita buat itu akan terlepas untuk mengesan pesakit-pesakit, itu antara cabaran utama untuk virus ini,” katanya.

Namun pakar kesihatan itu menjelaskan, risiko penularan virus Nipah di Malaysia masih rendah dan sehingga kini masih tiada kes berlaku sejak 1999.

Beliau turut optimis dengan strategi Kementerian Kesihatan Malaysia yang sentiasa memantau maklumat dan data terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Tahap persediaan yang kerajaan lakukan, saya merasakan risiko masih rendah dan sederhana sahaja,” katanya.

Tambahnya, virus tersebut hanya menular melalui kontak rapat dengan penyebaran cecair pada jarak dekat.

Pada Disember lalu, dua individu di Bengal Barat, India disahkan dijangkiti virus Nipah, manakala 196 individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat telah menjalani ujian saringan dan disahkan negatif

“Ia hanya berlaku di sekitar hospital yang terlibat sahaja dan belum merebak ke dalam masyarakat,” katanya lagi.



#Kementerian Kesihatan #vaksin #virus Nipah #jangkitan