Orang ramai diminta untuk tidak terlalu awal mempercayai kes virus Zika pertama yang didakwa dihidapi tiga sekeluarga di Melaka yang menjadi viral di laman sosial sejak petang Jumaat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, berkata mereka seharusnya mendapatkan pengesahan daripada pihak bertanggungjawab terlebih dahulu sebelum membuat sebarang spekulasi dan seterusnya menyebarkan berita yang tidak benar.

"Sehingga kini kami tidak menerima sebarang laporan rasmi daripada Kementerian Kesihatan atau Jabatan Kesihatan Melaka berhubung jangkitan virus tersebut. Tunggu makluman rasmi, jangan terpengaruh dengan khabar angin.

"Ia boleh memberikan amaran bahaya palsu atau rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat terutama penduduk negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Antarabangsa Sungai Melaka di sini, tengah malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penyebaran khabar angin menerusi media sosial tentang tiga sekeluarga yang baharu pulang dari Singapura dijangkiti virus Zika dan dikuarantinkan di rumah mereka di Durian Tunggal di sini dan dipantau Pusat Kesihatan Durian Tunggal.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan kerajaan negeri serius dalam isu ini memandangkan Melaka adalah negeri tumpuan pelancong termasuk dari Singapura.

"Kita tahu pelancong dari Singapura telah menjalani saringan ketat di sana dan juga di Johor Bahru sebelum masuk ke Melaka tetapi kita akan tetap memantau perkara ini," katanya lagi.

Tambah beliau Jabatan Kesihatan Melaka sentiasa memantau dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan virus Zika di negeri itu.