MALAYSIA

Vivy Yusof, suami dapat sementara pasport untuk ke Istanbul, Bosnia

Bernama 07/10/2025 | 05:20 MYT
Vivy dan Fadzarudin menghadapi tujuh pertuduhan pecah amanah melibatkan dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pengasas FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, untuk mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara bagi membolehkan mereka menghadiri program islamik di Istanbul dan Bosnia.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Sesyen membenarkan pasangan pengasas FashionValet mendapatkan pasport antarabangsa sementara bagi menghadiri program Islamik di Istanbul dan Bosnia dari 4 hingga 11 November, dengan pasport perlu dikembalikan pada 13 November.
  • Permohonan tidak dibantah oleh pihak pendakwaan, dan sebelum ini mereka juga dibenarkan mendapatkan pasport untuk menunaikan umrah pada Disember 2024.
  • Vivy dan Fadzarudin sedang menghadapi tujuh pertuduhan pecah amanah melibatkan dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta, didakwa dilakukan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FashionValet pada Ogos 2018.


Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Shaarvin Raaj, yang mewakili pasangan berkenaan, untuk mendapatkan pasport mereka bermula hari ini hingga 12 Nov depan.

"Mahkamah membenarkan permohonan itu dan pasport diserahkan kepada kedua-dua pemohon hari ini, serta dikembalikan kepada mahkamah 13 Nov ini," katanya.

Terdahulu, Shaarvin berkata kedua-dua anak guamnya akan menghadiri program Islamic Historical Retreat to Istanbul-Bosnia with Sheikh Wael Ibrahim dari 4 hingga 11 Nov ini.

"Saya mohon pasport diserahkan hari ini untuk permohonan visa dan ia akan diserahkan semula kepada mahkamah pada 13 Nov," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah pula berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan tidak membantah permohonan pasangan itu.

Sebelum ini, mahkamah membenarkan permohonan Vivy dan suaminya untuk mendapatkan pasport bagi menunaikan umrah pada Disember 2024.

Pada 5 Dis tahun lepas, Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.

Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.

Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


#Vivy Yusof #FashionValet #kes mahkamah #pecah amanah