MALAYSIA

VM2026: Kestabilan dan hospitaliti rakyat jadi teras

Astro Awani 02/01/2026 | 04:30 MYT
King Sing berkata, usaha nasional itu melibatkan kerjasama merentas kementerian, kerajaan negeri, syarikat penerbangan, penggiat industri pelancongan serta rakyat Malaysia sendiri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) bukan sekadar kempen pelancongan, sebaliknya menjadi manifestasi keyakinan Malaysia dalam menempatkan diri sebagai destinasi utama dunia dengan menekankan kestabilan politik, keharmonian sosial dan komitmen bersama semua pihak.


Ringkasan AI
  • Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menonjolkan Malaysia sebagai destinasi utama dunia dengan menekankan kestabilan politik dan keharmonian sosial.
  • Menteri Tiong King Sing menekankan keperluan untuk menghentikan politik isu perkauman dan keagamaan yang boleh menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
  • Usaha promosi global turut ditekankan melalui platform digital, kerjasama dengan pempengaruh, dan penekanan kepada jaminan kualiti melalui MyTQA bagi menarik pelancong bernilai tinggi.


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, usaha nasional itu melibatkan kerjasama merentas kementerian, kerajaan negeri, syarikat penerbangan, penggiat industri pelancongan serta rakyat Malaysia sendiri.

“Pelancongan hanya dapat berkembang dalam suasana stabil, inklusif dan saling menghormati. Semua pihak termasuk pemimpin politik perlu berhati-hati dalam tutur kata dan tindakan.

“Pelbagai usaha mempolitikkan isu perkauman dan keagamaan yang boleh menjejaskan perlu dihentikan untuk tidak mencipta persepsi keselamatan pelawat asing serta imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Pelawat perlu berasa selamat dan dialu-alukan. Malaysia mesti terus memaparkan imej negara yang harmoni, stabil dan berkeyakinan,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, strategi promosi global negara kini giat dilaksanakan melalui gabungan platform digital dan konvensional, termasuk kerjasama dengan pempengaruh, kempen media sosial serta promosi di luar negara.

Katanya, kerajaan juga memberi penekanan kepada jaminan kualiti melalui sistem Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) yang merangkumi pelbagai sektor pelancongan termasuk budaya, alam semula jadi, marin, pengembaraan dan MICE.

“Usaha ini turut diperkukuh melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa bagi meningkatkan keterlihatan serta kebolehcapaian Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

“MyTQA menetapkan piawaian perkhidmatan yang jelas dan berperingkat, membantu Malaysia menarik pelancong bernilai tinggi dan pasaran jarak jauh,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan pelancongan negara tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan semata-mata sebaliknya sektor swasta, termasuk hotel, resort dan pengusaha pelancongan perlu memainkan peranan melalui pelaburan, inovasi dan penambahbaikan perkhidmatan.

“Hotel, resort dan pengusaha pelancongan perlu memainkan peranan melalui pelaburan, inovasi dan penambahbaikan perkhidmatan. Kejayaan pelancongan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata.

“Negeri-negeri yang kaya dengan warisan budaya dan seni akan terus diketengahkan, kerana pelancong kini mencari pengalaman bermakna, kisah yang diwarisi turun-temurun, masakan tradisional asli dan keramahan rakyat Malaysia.

“Setiap senyuman, layanan ikhlas dan sikap profesional rakyat Malaysia memberi kesan lebih besar daripada sebarang kempen promosi,” tambah beliau.

Ahli Parlimen Bintulu itu turut menekankan peranan lapangan terbang dan syarikat penerbangan sebagai pintu masuk utama negara.

“Penambahbaikan kecekapan imigresen, kemudahan digital dan peluasan laluan penerbangan terus ke destinasi utama seperti Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Langkawi amat penting.

“Kita mahu pertumbuhan pelancongan dinikmati oleh komuniti luar bandar, pengusaha homestay dan penggiat pelancongan berasaskan komuniti. Pembangunan mesti seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar dan warisan negara.

‘Kekuatan sebenar negara kita terletak pada nilai sopan santun dan berbudi bahasa rakyatnya. Nilai inilah yang menjadikan Malaysia unik dan meninggalkan kesan mendalam kepada setiap pelawat,” katanya.


#media sosial #sektor pelancongan #VM2026 #lapangan terbang