[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

VM2026: Pempengaruh antarabangsa bantu lonjak pelancongan negara

Astro Awani 29/09/2025 | 09:40 MYT
Program tersebut menghimpunkan 30 pempengaruh terkenal dari 12 negara termasuk Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, Jepun, Korea, Pakistan, India, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Singapura dan Malaysia - Foto MOTAC
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyifatkan penglibatan pempengaruh media sosial tempatan dan antarabangsa sebagai salah satu pendekatan berimpak tinggi dalam memperkasa promosi pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).


Ringkasan AI
  • MOTAC anggap penglibatan pempengaruh media sosial sebagai strategi berimpak tinggi untuk promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.
  • Program All Star Influencers Fam Trip 2025 berjaya tarik 30 pempengaruh dari 12 negara, menjana lebih 620 juta tontonan dan dijangka sumbang RM3.7 bilion kepada ekonomi.
  • Siri jelajah ASIA2025 akan berakhir di Sabah Oktober ini, tonjolkan keindahan alam dan budaya Borneo sebagai tarikan pelancongan bertaraf dunia.


Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penganjuran program All Star Influencers Fam Trip 2025 yang berlangsung di Pulau Pinang dari 17 hingga 20 September lalu berjaya menonjolkan keunikan destinasi pelancongan Malaysia kepada dunia menerusi platform digital.

Jelas beliau, program tersebut menghimpunkan 30 pempengaruh terkenal dari 12 negara termasuk Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, Jepun, Korea, Pakistan, India, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Singapura dan Malaysia, yang berpeluang meneroka lokasi-lokasi pelancongan tempatan yang menarik dan ikonik.

"Dalam era digital, pempengaruh memiliki pengaruh besar dalam mempromosikan destinasi pelancongan. Kempen ini bukan sahaja memperkukuh jenama Malaysia di peringkat global, malah memberi pulangan ekonomi yang signifikan kepada industri pelancongan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

King Sing menambah hanya dalam tempoh tiga bulan, program itu sudah menjana lebih 620 juta tontonan di pelbagai platform media sosial, sekali gus mengatasi pencapaian tahun lalu yang merekodkan 518 juta tontonan sepanjang tahun.

Menurut beliau lagi, angka tersebut jelas membuktikan kekuatan promosi digital dalam melonjakkan keterlihatan Malaysia di pentas antarabangsa.

Malah, ia dijangka menyumbang pulangan ekonomi mencecah RM3.7 bilion kepada negara, ujarnya.

"Gabungan promosi digital dan kekayaan budaya menjadikan Malaysia destinasi yang lebih berdaya saing.

"Pembabitan pempengaruh terutama menerusi program seperti ASIA2025 akan menjadi pemacu penting untuk mengembalikan kegemilangan sektor pelancongan negara,” tambah beliau.

Siri jelajah pelancongan ASIA2025 yang bermula sejak Julai lalu telah merentasi beberapa negeri seperti Johor, Pahang, Melaka, Selangor dan Langkawi, sebelum Pulau Pinang menjadi tumpuan minggu ini.

Program ini dijadual menutup tirainya di Sabah pada Oktober depan, di mana keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian budaya Borneo akan menjadi tarikan utama bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia menjelang VM2026.






#Visit Malaysia 2026 #Pempengaruh pelancongan Malaysia #MOTAC #Tiong King Sing #All Star Influencers Fam Trip 2025