Kerajaan telah menghapuskan Visa on Arrival (VOA) kepada negara-negara dimana aktiviti pemerdagangan manusia berleluasa termasuk China, India dan Iran.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini adalah untuk memastikan VOA tidak disalahgunakan oleh sindiket pemerdagangan manusia.

“Kita tidak prejudis atau prasangka kepada mana-mana negara tetapi kita tengok dari segi sumber permasalahan.

“Bagi negara-negara yang mempunyai masalah bukan negara itu yang menimbulkan masalah tetapi sindiket tersebut (yang menimbulkan masalah),” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin yang mencadangkan mungkin VOA memberi sumbangan kepada aktiviti itu dan bagaimana hendak mematikan sindiket pemerdagangan manusia.

Ahmad Zahid mengaku bahawa terdapat juga sindiket yang menggunakan visa pelajar untuk tujuan memperdagangkan orang.

“Yang penting adalah usaha-usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia dengan menubuhkan General Border Committee,” katanya.

Ahmad Zahid turut berkata pihaknya telah mengambil langkah untuk mempercepatkan pendakwaan ke atas mereka-mereka yang ditangkap untuk aktivi pemerdagangan manusia, terutamanya apabila pihak Amerika Syarikat sudah mempertikaikan mengapa daripada 777 orang yang ditangkap hanya 153 orang telah didakwa.

“Kami telah membincangkan dengan Jabatan Peguam Negara untuk mewujudkan mahkamah khas supaya isu-isu pendakwaan yang tertangguh dapat dipercepatkan.

“Sesungguhnya kerajaan serius untuk menangani isu ini,” katanya sambil menambah antara inisiatif terkini kerajaan bagi menangani jenayah itu adalah mengemukakan beberapa langkah penambahbaikkan seperti membuat pindaan kepada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.