[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
DREBAR

VW laburkan sehingga RM66 bilion untuk R&D pada 2015

Astro Publication 17/12/2015 | 09:41 MYT
Di Drebar.my, kami banyak memberi tumpuan kepada teknologi di dalam kereta zaman sekarang. Kenapa? Kerana memang jelas itu adalah tulang belakang untuk perancangan serta pembuatan kenderaan; banyak kehendak-kehendak daripada segi kecekapan pemasangan, keselamatan (aktif dan pasif), hiburan dan ketersambungan; prestasi dan juga penjimatan bahan api yang perlu diambil kira. Jika tidak, produk yang hendak dijual mungkin tidak menepati keperluan perundangan, ataupun tidak menjerat perhatian pembeli.
Tetapi, itu juga bermakna banyak sumber diberi kepada penyelidikan dan pembangunan teknologi terkini. Mengikut firma perunding Strategy& yang juga sebahagian daripada firma audit PricewaterhouseCoopers, Volkswagen adalah syarikat automotif yang paling banyak melabur di dalam bidang R&D bagi tahun 2015.
Mengikut senarai yang dikeluarkan Strategy& setiap tahun, jumlah yang dibelanjakan adalah setinggi USD15.3 bilion (lebih kurang RM66.3 bilion mengikut tukaran wang semasa) untuk 2015. Ini dibuat atas hasil syarikat sebanyak USD269.1 bilion.
Ini juga bererti Volkswagen berbelanja lebih daripada syarikat-syarikat gergasi lain di dunia termasuk di dalam industri penerbangan & pembuatan senjata (Boeing), elektronik (Samsung), kesihatan (Pfizer, Glaxo SmithKline) dan firma internet & perisian (Microsoft, Google).
Kedudukan teratas bagi pelaburan R&D ini ‘menjadi milik’ Volkswagen sejak 2012 lagi, yang pada tahun itu membelanjakan USD10.1 bilion di atas hasil syarikat berjumlah USD221.8 bilion. Sejak itu, angka tersebut bertambah sekian tahun – USD11.4 bilion (2013), dan USD13.5 bilion (2014).
Nama besar automotif di dalam senarai ini selepas Volkswagen adalah Toyota dengan perbelanjaan antara USD9.1 bilion dan USD9.9 bilion bagi tempoh yang sama.
Antara syarikat automotif lain yang kerap tersenarai adalah Daimler, General Motors, Ford dan Honda.
Di dalam kajian lain oleh Strategy&, benua Asia adalah kawasan yang paling banyak menerima pelaburan bagi R&D dengan bahagian 35%. Fokus adalah di China dan India yang menerima lebih banyak pembiayaan R&D import menerusi syarikat korporat – terutamanya daripada Amerika Syarikat – yang beroperasi di dalam negara-negara tersebut.
Antara sebab-sebab yang dinyatakan adalah jarak yang dekat dengan pasaran berkembang, kilang pengeluaran dan pembekal penting selain kos pembangunan yang lebih rendah.
# # R&D # vw #Volkswagen