[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
NATIONAL

Wabak kusta: KKM minta jangan terpengaruh dengan sumber tidak tepat

Sinar Harian 20/02/2025 | 06:50 MYT
Kes kusta baharu dalam negara meningkat sebanyak 40 peratus kepada 256 kes pada tahun 2023 berbanding 183 kes tahun sebelumnya. - Gambar hiasan/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta agar masyarakat tidak bimbang dan terpengaruh dengan sebarang spekulasi atau sumber tidak tepat berhubung wabak kusta di Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur, Kuala Pilah.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pihak kementerian masih menyiasat punca jangkitan dan mendapatkan laporan terperinci berhubung penyakit tersebut yang telah menyebabkan satu kematian pada Isnin lalu.
“Punca masih belum dikenal pasti tapi memang berkait rapat dengan penyakit kusta dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
“Ada proses dan prosedur dalam menjalankan siasatan ini. Selepas maklumat diperoleh, kita akan uar-uarkan dan kajian terperinci perlu dilakukan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program Inisiatif Senaman Ringan (X-BREAK) Institusi Pendidikan Peringkat Kebangsaan di sini pada Khamis.
Pada Rabu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dari Kampung Orang Asli Chergun, Kuala Pilah disahkan meninggal dunia pada Isnin akibat wabak kusta, manakala lapan lagi individu sedang dirawat.
Menurutnya, kes berkenaan mula dikesan pada 2 Januari lalu membabitkan sembilan penduduk Orang Asli dari Kampung Chergun dan Guntur.
Tambah beliau, saringan secara agresif telah dijalankan oleh KKM terhadap semua penduduk di kedua-dua kampung berkenaan. - Sinar Harian
#wabak kusta #Negeri Sembilan #Kuala Pilah #KKM