Pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kampung, iaitu kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baru Datuk Ibrahim Majid sehingga 14 April ini disambut baik oleh penduduk Simpang Renggam.

Rata-rata penduduk yang ditemui Astro Awani menyatakan pelanjutan tempoh itu adalah wajar dan langkah terbaik yang diambil oleh kerajaan.

Pekerja swasta, Nurul Hidayu Abdul Rahman berkata ia bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ke kawasan berdekatan dengan PKPD berkenaan.

“Selagi memang ada kes, pada saya perlu sambung (PKPD) )dan) selagi ada kes baharu.

“Seperti saya, saya pergi membeli barang (keperluan) pun saya tidak tahu sama ada yang positif atau tak. Jadi, kena lakukan penjarakan sosial dan jadi diri,” katanya.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Redzuwan Omar juga sependapat dengan Nurul Hidayu.

“Wajar kalau (PKPD) di Kg Ibrahim Majid dan Bandar Baru Ibrahim Majid dilanjutkan sehingga 14 April bagi mengelak penularan COVID-19,” ujarnya.


BACA: COVID-19: PKPD dikuat kuasa di dua kawasan di Simpang Renggam

BACA: EMCO in Simpang Renggam extended until April 14 - Ismail Sabri

Dalam pada itu, pelajar, Muhammad Ali Sariff berkata, langkah yang diambil oleh kerajaan adalah untuk memastikan keselamatan rakyat.

“Walaupun ada tempat yang tidak kena PKPD, mudah-mudahan tempat tersebut akan terus selamat daripada wabak tersebut dan ia merupakan tindakan yang wajar,” katanya.

Pada 26 Mac lalu, dua kawasan penduduk di Simpang Renggam, Johor menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD selepas 61 penduduknya dikesan positif COVID-19.