GADGETS

Wajibkan label 'AI Generated' wajar untuk lindungi pengguna, tingkat literasi digital

Bernama 14/07/2025 | 09:42 MYT
Masih ramai pengguna sukar membezakan antara kandungan asli dengan yang telah dimanipulasi atau dihasilkan sepenuhnya oleh AI. - Gambar hiasan/AP
KUALA LUMPUR: Cadangan mewajibkan pelabelan "AI Generated" pada sebarang kandungan yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI) wajar dilaksanakan bagi melindungi pengguna daripada penipuan digital serta ancaman keselamatan dalam talian.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Siber Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Lt Kol (B) Mustaffa Ahmad berkata label berkenaan boleh menjadi amaran awal kepada pengguna dalam mengenal pasti sebarang kandungan, sekali gus meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata masih ramai pengguna sukar membezakan antara kandungan asli dengan yang telah dimanipulasi atau dihasilkan sepenuhnya oleh AI.

"Jadi pelabelan ini sangat penting untuk melindungi golongan pengguna yang mudah terdedah kepada penipuan digital, terutama warga emas.

"Contohnya sebelum ini tular video AI sebuah lokasi pelancongan baharu yang mempunyai kereta kabel sehingga ada warga emas yang ke lokasi itu namun sebenarnya tempat itu tidak wujud, jadi ini bukan sekadar isu teknologi, tetapi soal keselamatan dan perlindungan pengguna," katanya kepada Bernama.

Mustaffa berkata pelabelan "AI Generated" boleh menjadi alat pendidikan kepada masyarakat agar pengguna lebih berhati-hati dan teliti terhadap maklumat yang dikongsi atau ditonton dalam media sosial.

Semalam, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan pelabelan kandungan yang dihasilkan oleh AI sebagai "AI generated" di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 yang dijangka berkuat kuasa pada hujung tahun ini.

Fahmi berkata langkah itu penting bagi menangani penyalahgunaan AI khususnya dalam media sosial yang boleh digunakan untuk tujuan penipuan, penyebaran fitnah dan penyamaran identiti.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Noor Zuraidin Mohd Safar menekankan kepentingan garis panduan yang jelas dan menyeluruh bagi memastikan keberkesanan pelabelan itu serta mengelak kekeliruan dalam kalangan pengguna dan penggiat industri.

Beliau berkata tanpa definisi yang tepat, pelabelan seperti "AI Generated" berisiko disalah tafsir, sekali gus memberi kesan kepada keyakinan pengguna dan industri kreatif.

"Kerajaan perlu menetapkan takrifan yang jelas mengenai apa yang dikira sebagai kandungan AI. Adakah hanya kandungan yang dihasilkan sepenuhnya oleh AI atau termasuk juga kandungan yang hanya menggunakan AI untuk draf awal, idea atau tajuk," katanya.

Beliau berkata garis panduan ini penting bagi mengelakkan pelabelan yang terlalu ketat sehingga boleh menyekat kreativiti terutamanya dalam kalangan pencipta kandungan bebas dan syarikat kecil yang menggunakan AI sebagai alat sokongan.

Noor Zuraidin berkata selain itu, penetapan garis panduan juga dapat membantu platform digital dan penyedia kandungan mematuhi keperluan undang-undang secara lebih sistematik.

"Tanpa standard yang seragam, pelaksanaan akan menjadi sukar. Ini juga boleh menyebabkan perbezaan tafsiran antara satu platform dengan yang lain, apatah lagi jika kandungan itu dikongsi merentasi sempadan negara," katanya.

-- BERNAMA


#label #AI generated #imej janaan AI #literasi digital #pengguna #penipuan digital