[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Wakil Astro AWANI, Asry Shafii meninggal dunia selepas buat liputan banjir

Afiezy Azaman 26/11/2025 | 02:50 MYT
Wakil Astro AWANI di Perlis, Asry Shafii menghembuskan nafas terakhir hari ini pada usia 49 tahun disyaki akibat serangan jantung.
KUALA LUMPUR: "Ayah sayang semua, jaga diri baik-baik."

Itu pesanan wakil Astro AWANI di Perlis, Asry Shafii dalam bentuk 'voice note' diterima isterinya, Norhanani Ahmad sebelum dikejutkan dengan khabar duka suaminya meninggal dunia disyaki akibat serangan jantung.

Difahamkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 49 tahun awal pagi ini ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai membuat liputan mengenai proses evakuasi rakyat Malaysia yang terperangkap akibat banjir di Hatyai, Thailand.

Norhanani berkata, dalam perbualan terakhirnya bersama Allahyarham, suaminya itu menyatakan hasrat untuk pulang ke rumah di Perlis kerana bimbang kediaman mereka turut dinaiki air.

"Dia (Asry) memang ada sejarah sakit jantung sebelum ini dan mungkin dia terlalu penat membuat liputan semalam dan tak dapat berehat.

"Dalam masa sama, arwah risaukan kami sebab kawasan sekitar rumah dinaiki air dan kami terperangkap, jadi suami nak balik dulu tapi tak sempat.

"Dalam perjalanan pulang, kereta arwah naiki terperangkap banjir dan tidak dapat dihidupkan. Arwah turun dari kereta dan cuba menolak tetapi tiba-tiba dia rebah mungkin akibat serangan jantung dan lemas," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Allahyarham Asry pernah bertugas sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebelum menjadi wakil Astro AWANI di Perlis.

Selain Norhanani, Allahyarham turut meninggalkan enam orang anak dengan yang paling bongsu berusia 11 tahun.

Seluruh keluarga Astro AWANI menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Asry dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Al-Fatihah...







#Wakil Astro AWANI #Asry Shafii #Asry Shafii meninggal dunia #liputan banjir