MALAYSIA

Waktu bekerja 42 jam pastikan kualiti perkhidmatan awam kekal terbaik - CUEPACS

Bernama 12/07/2025 | 10:15 MYT
Adnan berkata langkah itu merupakan keputusan yang penuh hikmah serta selari dengan semangat Malaysia MADANI. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan mengekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu bagi petugas kesihatan yang bekerja syif akan memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan awam kekal pada tahap terbaik.


Ringkasan AI
  • Kerajaan kekalkan waktu kerja 42 jam untuk petugas kesihatan syif: Seramai 82,637 petugas barisan hadapan diberi pengecualian daripada pelaksanaan 45 jam seminggu, melibatkan lima skim kritikal di bawah KKM.
  • CUEPACS sokong keputusan demi kesejahteraan penjawat awam: Presiden CUEPACS menyifatkan langkah ini sebagai selari dengan semangat Malaysia MADANI dan penting untuk kesihatan fizikal, mental dan emosi petugas.
  • Pengiktirafan terhadap suara kesatuan dan rundingan dasar: Keputusan ini menunjukkan kerajaan mendengar kebimbangan kesatuan sekerja dan komited terhadap kebajikan penjawat awam dalam dasar perkhidmatan.


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Adnan Mat berkata langkah itu merupakan keputusan yang penuh hikmah serta selari dengan semangat Malaysia MADANI, yang mengutamakan nilai ihsan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta penjawat awam.

"Langkah ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan mendengar dan memahami suara serta kebimbangan yang disuarakan oleh kesatuan sekerja dan petugas kesihatan yang saban hari bertugas di barisan hadapan menyelamatkan nyawa rakyat tanpa mengira waktu dan keadaan.

"CUEPACS percaya pengekalan waktu bekerja 42 jam ini akan membantu memelihara kesihatan fizikal, mental dan emosi petugas kesihatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan kerajaan bersetuju memberikan pengecualian terhadap pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu kepada lima skim perkhidmatan kritikal di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), dengan menetapkan waktu bekerja hanya 42 jam seminggu.

Pengecualian itu melibatkan seramai 82,637 petugas barisan hadapan merangkumi jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, penolong pegawai perubatan serta pembantu perawatan.

Adnan turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana terus memberi ruang kepada rundingan dan suara kesatuan sekerja dalam membuat keputusan dasar berkaitan perkhidmatan awam.

"Kami akan terus komited memperjuangkan kebajikan penjawat awam selaras dengan aspirasi negara," katanya.

-- BERNAMA




#petugas kesihatan #bekerja syif #waktu bekerja 42 jam #cuepacs