GEORGE TOWN: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang hari ini memutuskan penjawat awam di negeri itu kekal bekerja seperti biasa sepanjang bulan Ramadan iaitu pulang pada 4 petang setiap hari.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata keputusan itu diambil kerana sepanjang bulan Ramadan, penjawat awam di Pulau Pinang bekerja mengikut waktu fleksibel.

"Berhubung dengan isu sama ada Pulau Pinang akan mengikut Negeri Pahang khususnya di mana penjawat awam boleh balik kerja awal pada hari Jumaat, MMK dah putuskan kekal dengan apa yang ada sekarang ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di Masjid Kapitan Keling di sini malam tadi yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Sebelum ini, Pahang mengumumkan waktu bekerja penjawat awam di negeri itu pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan tahun ini ditetapkan hingga 12.30 tengah hari.

-- BERNAMA