[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Wan Azizah santuni warga emas, sampaikan bantuan menerusi Ziarah Kasih Madani

Bernama 01/05/2025 | 09:45 MYT
Dr Wan Azizah menyampaikan sumbangan kepada Abdul Aziz Abu Bakar (empat, kiri) pada Program Ziarah Kasih MADANI Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di sekitar Bandar Tun Razak Cheras hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini menyantuni tiga warga emas dalam kawasan Parlimen Bandar Tun Razak menerusi Program Ziarah Kasih Madani.

Ringkasan AI
  • Isteri Perdana Menteri menyantuni tiga warga emas di Parlimen Bandar Tun Razak, menyampaikan sumbangan kewangan bulanan MAIWP dan bantuan keperluan asas.
  • Dr Wan Azizah melawat Puan Siti Fatimah di hospital serta Abdul Aziz Abu Bakar dan Md Zin Abu Kasim di Cheras, bagi meringankan beban kos perubatan mereka.
  • Abdul Aziz, seorang pesara yang mengalami kecederaan serius akibat kemalangan, menyatakan bantuan tersebut membantu meringankan beban perbelanjaan harian.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Kawasan Bandar Tun Razak turut menyampaikan sumbangan kewangan bulanan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), selain bantuan keperluan asas bagi meringankan beban kos perubatan yang ditanggung oleh warga emas tersebut.
"Alhamdulillah, pagi ini saya berkesempatan menziarahi tiga pesakit. Yang pertama di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), untuk melawat Puan Siti Fatimah, 88 tahun, yang telah lama sakit dan kini ditempatkan di wad kecemasan," katanya kepada media di Cheras, di sini.
Dua lagi pesakit yang turut dilawati Dr Wan Azizah ialah Abdul Aziz Abu Bakar, 61, dan bekas rakan setugasnya Md Zin Abu Kasim, 75, masing-masing di Taman Ikhlas dan Taman Mewah di Cheras.
Turut hadir pada program itu Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Kanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Cheras dan Bandar Tun Razak Datuk Seri Mohd Shahrulnizam Mazlan, Penyelaras Skuad Jejak Asnaf Muhammad Ishak Zulkifly serta beberapa petugas MAIWP.
Sementara itu, Abdul Aziz meluahkan rasa terharu atas kunjungan dan sumbangan yang disampaikan Dr Wan Azizah.
Menurutnya, beliau mengalami kecederaan serius akibat dilanggar lori dalam kemalangan pada 13 April lepas, dan kini bergelut dengan pelbagai masalah kesihatan termasuk patah tulang rusuk serta keretakan pada bahagian belikat.
"Saya pesara, jadi pencen bulanan yang saya terima hanya sekitar RM300. Dengan adanya sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan harian saya. Mereka juga kata akan mempertimbangkan bantuan susulan memandangkan ada anak-anak saya yang masih belajar," katanya.
-- BERNAMA
#Wan Azizah Wan Ismail #Program Ziarah Kasih Madani #warga emas #Parlimen Kawasan Bandar Tun Razak