KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyumbang lebih RM200,000 kepada masjid dan surau di sekitar kawasan itu bagi mengimarahkan institusi berkenaan dengan pelbagai aktviti sepanjang Ramadan ini.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata sumbangan tersebut diberikan kepada sembilan masjid dan 80 surau.

Beliau berkata setiap masjid memperoleh sebanyak RM5,000 manakala surau RM2,000 menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan adalah lebih RM200,000.

"Ini merupakan satu inisiatif Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak bagi menjayakan program imarah masjid serta surau dan berharap sumbangan yang diberikan ini dapat menampung tambahan dana bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan.

"Di samping itu, secara tidak langsung ia turut memupuk semangat perpaduan, kerjasama, semangat berpasukan dan mengeratkan ukhuwah sebagai satu keluarga antara masjid, surau serta masyarakat khususnya penduduk di Parlimen Bandar Tun Razak," katanya.

Wan Azizah berkata demikian pada majlis Penyerahan Sumbangan Masjid, Surau dan Perasmian Kupon Pembelian Bazar Ramadan serta pengagihan bubur lambuk di Masjid Az-Zubair Ibn Awam semalam.

Beliau berkata pihaknya turut mengedarkan kupon pembelian bazar Ramadan bernilai RM10 kepada penduduk Bandar Tun Razak yang boleh digunakan di lokasi terpilih.


"Sebanyak 100 kupon pembelian bazar Ramadan akan diedarkan setiap minggu di enam kawasan bazar Ramadan terpilih iaitu di Taman Tenaga, Jalan Jujur, Taman Mulia, Sri Penara, Sungai Besi dan Taman Bukit Cheras.

"Program edaran Kupon Bazar Ramadan ini merupakan satu inisiatif baharu Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak bagi menampung kos pengunjung bazar Ramadan sekitar kawasan ini," katanya.

Wan Azizah turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat MKRS dan New Tech yang menjadi penyumbang kepada program satu hari satu kawasan memasak serta agihan bubur lambuk.

"Moga usaha murni ini dapat meringankan beban masjid, surau dan persatuan terpilih di Parlimen Bandar Tun Razak ini," katanya.

-- BERNAMA