KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini mendedahkan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau dihubungi oleh beberapa individu yang menggugutnya untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, selepas berkali-kali dihubungi, beliau 'akur' untuk mengadakan pertemuan, bermula pada 17 Januari lalu di sebuah hotel di Bukit Bintang, ibu negara.

Dakwa beliau, dalam beberapa siri pertemuan tersebut, individu berkenaan menawarkan habuan sebagai balasan sokongan kepada Perdana Menteri, antaranya peruntukan Parlimen sebanyak RM1.7 juta.

"Kemudian (kami) bertemu di (Hotel) JW Marriott, selepas itu saya diam. Sebab salah seorang yang bertemu rupa-rupanya kawan saya dan saya tak nak calarkan nama dia, saya diam. Sehingga lah pada Istiadat Pembukaan Parlimen Isnin lepas, saya didekati sekali lagi, kali ini pada Isnin petang.

"Saya diajak jumpa Corus Hotel Jalan Ampang, kemudian tengah malam Isnin, malam itu kami ada 'pre council PN, dan (beliau) ajak jumpa di Saujana Subang.

"Antara yang disebut kepada saya ialah peruntukan RM1.7 juta, dengan sebahagian daripada itu untuk operasi pusat khidmat, peruntukan projek mesra rakyat yang boleh diagihkan kepada kroni-kroni saya. Mereka tahu saya susah sekarang, isteri saya (menghidap) kanser," dakwanya ketika sesi Perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja, pada Rabu.

Selain itu, Wan Saiful mendakwa individu berkenaan turut menawarkan untuk 'membatalkan' pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah, sambil menambah ia menjejaskan kestabilan dan tatakelola yang diperjuangkan oleh kerajaan ketika ini..

Beliau menambah terpaksa melayan perjumpaan tersebut kerana mendakwa bimbang keselamatan diri, isteri dan anak-anak memandangkan 'mereka' memiliki kuasa.

"Modus operandinya teliti... jumpa di tempat tertutup, dalam bilik hotel dan nama individu berjumpa (dengan Wan Saiful) bukan nama sebenarnya. Nama mereka guna Rahim, Arman, Hasnan dan kadang-kadang nama dia lain.

"Ada satu nama yang diulang berkali-kali bukan dalam dewan ini. Ia seolah-olah, ini lah punca kuasa. Saya tak kenal,  dia sebut nama 'Farhan' banyak kali," dakwa Wan Saiful lagi.

Bagaimanapun, dakwaan dibuat Wan Saiful itu mengundang kekecohan di Dewan Rakyat, apabila beberapa Ahli Parlimen daripada blok kerajaan bangkit membantah perkara berkenaan.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, antaranya berkata, tuduhan menawarkan habuan bagi menyokong Perdana Menteri adalah bersifat sangkaan jahat.

"Peraturan Mesyuarat 36(6), kenyataan mengatakan bahawa ada habuan kalau menyokong Perdana Menteri merupakan sangkaan jahat. Tak kan kita nak biarkan pembangkang membuat kenyataan, kalau berani buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Mendengar celahan RSN Rayer, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) kemudian bangkit mempersoalkan dakwaan sangkaan jahat.

"Apa sangkaan jahat? Kamu sendiri tahu ugutan yang kita kena... Jangan buat tak tahu, kita pun dijanjkan peruntukan kalau sokong, apa yang salah? Apa yang salah?" soal bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Situasi Dewan Rakyat sekali lagi kecoh apabila Wan Saiful menuduh individu yang menyalahgunakan kuasa adalah seorang yang menghadap Yang di-Pertuan Agong setiap minggu sebelum Mesyuarat Jemaah Kabinet.

Bagaimanapun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta Wan Saiful menarik balik kenyataan berkenaan dan memintanya 'move forward' memandangkan pendedahan yang dibuat itu tidak dapat disahkan.

"Ini tohmahan yang kita tak boleh sahkan. Kalau awak nak saya setuju, buat laporan polis.

"Tasek Gelugor (kata) ada individu tawar kononnya menyokong Perdana Menteri, itu sangkaan tidak baik. Individu ini wujud atau tidak... dia mungkin berlakon seperti penyokong (Perdana Menteri).

"Kamu dah sebut tadi orang-orang berjumpa dengan saya (Wan Saiful) untuk bagi habuan menyokong Perdana Menteri. Kita tidak tahu orang itu betul atau tidak. Jadi saya ingat naratif ini perlu dihentikan," katanya.

Wan Saiful kemudian mengakhiri kenyataannya dengan menegaskan, beliau tidak akan sesekali membelot perjuangannya hanya kerana tawaran rasuah.