MALAYSIA

Wan Saiful dedah terima e-mel ugutan palsu

Yasmin Natasha 14/09/2025 | 14:05 MYT
Wan Saiful Wan Jan mendedahkan beliau turut menerima e-mel ugutan seks berasaskan kecerdasan buatan (AI). - Bernama
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan beliau turut menerima e-mel ugutan seks berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang kini menjejaskan sekurang-kurangnya 10 ahli politik termasuk beberapa anggota Kabinet.

Menurut Wan Saiful, ramai lagi ahli Parlimen mungkin tidak menyedari perkara itu kerana e-mel berkenaan berkemungkinan masuk ke 'spam folder', seperti yang berlaku kepadanya.

“Saya hanya perasan e-mel tersebut ketika sedang bersarapan di kawasan Parlimen saya. Ia menuntut bayaran AS$100,000 dalam bentuk mata wang kripto Tether, dengan disertakan kod QR dan gambar yang jelas palsu,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau menegaskan gambar serta tuduhan yang dikaitkan adalah rekaan semata-mata, dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan sama ada laporan rasmi perlu dibuat.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan sekurang-kurangnya 10 ahli politik menerima e-mel ugutan sama, termasuk Menteri Ekonomi Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Taufiq Johari; serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli.

Turut menjadi sasaran ialah Exco Selangor Najwan Halimi dan Dr Fahmi Ngah; Senator Manolan Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim Wong Chia Zen; serta Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin.

Fahmi menasihatkan semua pihak agar tidak terperdaya dengan ugutan siber seumpama itu dan memberi jaminan siasatan sedang dijalankan.

Sebelum ini, media melaporkan, bekas menteri ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa menerima ugutan video lucah kononnya membabitkan dirinya dan seorang lelaki yang dikirim melalui satu e-mel tidak dikenali.

Rafizi turut memaklumkan menerima mesej daripada Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang memberitahu menerima e-mel ugutan sama semalam.

Katanya, mereka dituduh mempunyai hubungan dengan lelaki sama dan Wong Chen sudah membuat laporan polis.



#Wan Saiful Wan Jan #emel fitnah #Fahmi Fadzil #kecerdasan buatan