KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa kerajaan tidak berusaha mengawal kenaikan harga makanan di kantin serta tambang bas sekolah. 

Menerusi hantaran di Facebook, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendakwa menerima aduan daripada ibu bapa mengenai kenaikan harga makanan sehingga mencecah 50 peratus.

“Semasa saya bertemu ibu bapa di Tasek Gelugor, saya dapati belum pun reda isu kenaikan tambang bas sekolah, sekarang ibu bapa dan murid terpaksa pula berdepan kenaikan harga makanan di kantin sekolah yang mencecah 50 peratus sejak sesi persekolahan dibuka pada Selasa lalu.

“Rungutan ibu bapa sudah kedengaran sejak bermulanya sesi persekolahan 2023 lagi tetapi belum ada apa-apa kenyatan dari menteri bertanggungjawab,” dakwanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful mendakwa menteri daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak kompeten menjaga nasib rakyat dan menyifatkan mereka gagal memahami denyut nadi kesusahan rakyat.

“Jangan pula lepas ini Menteri Pendidikan mencari formula asas tinggi ajaran Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi) bahawa kalau harga makanan kantin tinggi, maka ‘by right’ pelajar mesti kurangkan makan di kantin,” katanya sinis.

Dakwanya, harga roti canai dan nasi lemak masing-masing meningkat kepada RM1.50 berbanding RM1 pada tahun lalu.

Terdahulu, Free Malaysia Today melaporkan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Khairuddin Hamzah memaklumkan harga makanan di kantin sekolah meningkat sehingga 50 peratus pada sesi pembukaan sekolah yang bermula Selasa lalu, susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

Tambahnya, peningkatan harga itu bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat, selain beberapa bahan asas yang menyaksikan peningkatan mendadak.