MALAYSIA

Wang Yi hubungi Menteri Luar Iran: China tentang percubaan kenakan kehendak sendiri ke atas negara lain

Bernama 16/01/2026 | 10:31 MYT
Wang Yi (kiri) berkata China berpendirian konsisten dalam mematuhi Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa; manakala Araghchi berkata Iran sudah bersiap sedia untuk bertindak balas terhadap campur tangan luar.
BEIJING: China menentang sebarang cubaan untuk mengenakan kehendak sendiri ke atas negara lain atau membawa dunia kembali kepada undang-undang rimba.

Pendirian itu dinyatakan Menteri Luar China Wang Yi ketika menghubungi rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi menerusi panggilan telefon pada Khamis.

Wang berkata China berpendirian konsisten dalam mematuhi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, dan menentang sebarang bentuk ancaman atau penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa.

Kerajaan dan rakyat Iran diyakini akan bersatu padu bagi mengatasi kesulitan, mengekalkan kestabilan negara serta melindungi hak dan kepentingan sah sendiri, kata beliau.

Wang turut menyuarakan harapan supaya pihak-pihak terbabit kekal bertenang dan menahan diri bagi menyelesaikan perselisihan menerusi dialog, sambil menambah bahawa China bersedia memainkan peranan yang konstruktif dalam hal itu.

Dalam perbincangan itu, Araghchi berkata Iran sudah bersiap sedia untuk bertindak balas terhadap campur tangan luar, sementara pintu dialog masih terbuka.

Beliau juga menzahirkan harapan supaya China dapat memainkan peranan lebih besar dalam usaha memelihara keamanan dan kestabilan serantau.

- BERNAMA-CMG



TAG: China, Iran, dialog, Wang Yi, Abbas Araghchi




#wang yi #Menteri Luar China #abbas araghchi #hubungan antarabangsa