MALAYSIA
Wanita, anak perempuan ditemui meninggal dunia dalam rumah
Mayat seorang wanita tempatan dan anak perempuannya berusia dua tahun ditemui di sebuah apartmen di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang pada Isnin. - Foto PDRM
GEORGE TOWN: Mayat seorang wanita tempatan dan anak perempuannya berusia dua tahun ditemui di sebuah apartmen di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang pada Isnin.
Penemuan mayat dua beranak itu susulan bau busuk dipercayai datang dari kediaman mangsa di tingkat sembilan bangunan berkenaan.
Difahamkan pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.41 petang tadi dan meminta bantuan pasukan bomba untuk membuka pintu kediaman terbabit yang berkunci dari dalam.
Pihak polis kemudiannya menemui mayat seorang wanita tempatan berusia 40 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di dalam bilik utama rumah tersebut.
Hasil pemeriksaan awal oleh pakar forensik Hospital Pulau Pinang yang hadir ke lokasi mendapati kedua-dua mayat dipercayai telah meninggal dunia lebih seminggu lalu.
Difahamkan, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat yang akan di lakukan di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang esok.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan mayat dua beranak itu.