Wanita bermadu mengaku salah rosakkan kereta, motosikal suami dengan bakul buah

Nur Fazlizai Ali
Mac 8, 2023 09:28 MYT
Siti Fazira Mohd Sofian ketika hadir di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini. - Foto Astro AWANI
KEMAMAN: Seorang peniaga kedai emas yang juga isteri ketiga seorang peniaga mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kemaman di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan cermin kereta dan motosikal berkuasa tinggi milik suaminya pada Ahad lalu.
Pengakuan itu dibuat tertuduh, Siti Fazira Mohd Sofian, 28, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja melakukan khianat dengan mengetuk cermin hadapan dan belakang kereta jenis Mercedes-Benz dan merosakkan bahagian belakang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda Gold Wing menggunakan bakul mengisi buah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2.15 petang, di kediaman madunya yang merupakan isteri kedua suaminya, di Taman Gong Pauh, Chukai.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu mahkamah turut menetapkan 15 Mac ini untuk fakta dan hukuman.
Media sebelum ini melaporkan gara-gara tidak berpuas hati setelah suaminya tidak pulang rumah selama dua hari, seorang wanita yang juga isteri ketiga, bertindak menceroboh masuk ke rumah madunya sebelum merosakkan motosikal serta kereta milik suaminya.
#serang madu #Mahkamah Majistret Kemaman #bakul buah #tidak pulang rumah