Wanita bolos serbuan polis dikhuatiri lemas

Azee Shafy
Januari 21, 2023 14:11 MYT
Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam sungai ketika cuba memboloskan diri daripada serbuan polis, di Pulau Biawak, Batu Tiga, hari ini. - Foto JBPM
KUANTAN: Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam sungai ketika cuba memboloskan diri daripada serbuan polis, di Pulau Biawak, Batu Tiga, di sini, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan wanita terbabit pada jam 2.53 petang.
Katanya, seramai 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuantan ke lokasi kejadian.
“Pihak bomba membuat tindakan awal dengan mencari mangsa di tepi sungai kawasan tersebut.
"Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Kuantan juga diarahkan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
#wanita dikhuatiri lemas #bolos serbuan polis #Pulau Biawak #JBPM Pahang