MALAYSIA

Wanita cedera, cuba disamun ketika hantar pesanan kuih

Bernama 21/07/2025 | 13:52 MYT
Polis berkata kejadian berlaku kira-kira 2.30 petang ketika wanita berusia 31 tahun itu mahu menghantar kuih sejuk beku ditempah suspek di sebuah rumah di Kampung Gong Medang. Foto hiasan/BERNAMA
JERTIH: Seorang peniaga cedera kedua-dua tangan selepas menghalang lelaki cuba menyamunnya dengan menyamar sebagai pembeli di Jalan Tembila, Kampung Gong Medang, dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Md Sani Md Saleh berkata kejadian berlaku kira-kira 2.30 petang ketika wanita berusia 31 tahun itu mahu menghantar kuih sejuk beku ditempah suspek di sebuah rumah di situ.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek menghampiri mangsa yang berada dalam kereta lalu mengeluarkan pisau dan cuba mengambil kunci kereta mangsa.

"Mangsa bertindak menghalang suspek menggunakan tangan menyebabkan tangan kanan dan kirinya cedera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki terbabit gagal mengambil barang berharga daripada mangsa dan melarikan diri.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


#wanita cedera disamun #cuba menyamun #Kampung Gong Medang #Polis Daerah Besut