Wanita dibelasah sebelum disamun dalam lif di stesen MRT

Astro Awani
Februari 16, 2019 02:52 MYT
Video berdurasi 57 saat itu menunjukkan suspek memasuki lif berkenaan bersama-sama mangsa sebelum bertindak memukul dan menendang wanita berkenaan. - Foto PDRM
Polis sedang memburu seorang lelaki yang membelasah dan menyamun seorang wanita di dalam lif di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian berlaku 6.45 pagi ketika mangsa berusia 48 tahun berada di dalam lif berkenaan bersama suspek.
"Mangsa mengalami kecederaan bengkak di dahi dan kesakitan di badan serta kehilangan dokumen peribadi serta wang tunai RM400.
"Polis telah merakam percakapan seramai tiga saksi dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun hingga mendatangkan kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Terdahulu, kejadian tersebut turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dalam lif berkenaan yang tular di media sosial.
Video berdurasi 57 saat itu menunjukkan suspek memasuki lif berkenaan bersama-sama suspek sebelum bertindak memukul wanita berkenaan itu beberapa kali dan menendang mangsa.
Lelaki itu menarik beg tangan mangsa dan mengambil dompet wanita itu sebelum melarikan diri.
#CCTV #Cheras #jenayah #Kuala Lumpur #lif #mangsa #MRT #Rusdi Mohd Isa #samun #siasatan #stesen MRT #suspek #Taman Mutiara #wanita