KAJANG:Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kajang pada Khamis atas pertuduhan  membunuh suaminya yang juga buta dipercayai demi mendapatkan harta mangsa.

Turut menghadapi pertuduhan ialah adik lelakinya yang dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Mengikut pertuduhan, GS Angela Dewi, 45, bersama GS Vijaya, 42, dengan sengaja membunuh R Devarajoo di sebuah rumah di Kampung Baru Sungai Chua antara jam 12 tengah hari sehingga 1 petang pada 1 Oktober lalu.

Kedua-duanya hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin yang mengendalikan kes tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

BACA: Wanita rancang bersama adik lelaki bunuh suami OKU untuk kaut harta



Astro AWANI pada Rabu melaporkan seorang wanita tergamak merancang pembunuhan suaminya yang juga orang kurang upaya (OKU) dengan kecacatan buta untuk mendapatkan harta.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, pembunuhan itu dirancang bersama adik lelaki wanita terbabit yang berusia 42 tahun.

Katanya, suspek wanita yang berusia 45 tahun itu pada awalnya membuat laporan polis mendakwa suaminya disamun semasa mangsa berada di rumah mereka di Jalan Jati, Kampung Baru Sungai Chua, Kajang, pada 1 Oktober lalu.

"Hasil siasatan mendapati, suspek dikatakan mengupah adik lelakinya untuk datang ke rumah mereka untuk membunuh suaminya yang juga seorang ahli perniagaan.

"Adik lelaki wanita itu bertindak memukul kepala mangsa menggunakan tukul besi selain melarikan rantai yang dipakai," katanya dalam satu kenyataan.