[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Bukit Aman Ambil Alih Siasatan – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Wanita didakwa cuba bunuh anggota polis, langgar dengan kereta

Bernama 11/08/2025 | 10:30 MYT
Cham Shan Jer, 31, didakwa melanggar Koperal Muhamad Fahrulradi Sabran menggunakan sebuah kereta di Jalan Usahawan 6, Setapak di sini pada 11.15 malam 1 Ogos lepas. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis dengan melanggarnya, awal bulan ini.


Ringkasan AI
  • Cham Shan Jer, 31 tahun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba membunuh Koperal Muhamad Fahrulradi Sabran dengan melanggarnya menggunakan kereta di Setapak pada 1 Ogos lalu.
  • Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan, dan mahkamah tidak membenarkan jaminan atas alasan kes serius.
  • Tertuduh yang merupakan ibu tunggal dengan tiga anak dan menjaga ibu bapa, akan kembali ke mahkamah pada 23 September untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.


Cham Shan Jer, 31, didakwa melanggar Koperal Muhamad Fahrulradi Sabran menggunakan sebuah kereta di Jalan Usahawan 6, Setapak di sini pada 11.15 malam 1 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kes itu adalah serius iaitu cubaan membunuh seorang anggota polis.

Bagaimanapun, peguam Nurul Fatihah Abdul Ghani yang mewakili Cham memohon supaya jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya mempunyai tiga anak dan turut menjaga ibu bapanya.

"Anak guam saya merupakan seorang ibu tunggal, mohon supaya jaminan dibenarkan pada kadar paling minimum," katanya.

Hakim Dr Azrol Abdullah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 23 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA



#kes mahkamah #langgar polis #Cham Shan Jer #cubaan bunuh