[TERKINI] Najib Razak Dilepas Tanpa Dibebaskan – Kes SRC RM27 Juta, Ikuti Laporan di Sini
MALAYSIA

Wanita didakwa perdagangkan kanak-kanak lelaki, remaja perempuan

Astro Awani 30/05/2025 | 07:15 MYT
Haliza Palok, 55, dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan memperdagangkan kanak-kanak lelaki dan remaja perempuan, di kawasan Industri Senai Airport City, Disember tahun lalu.

Ringkasan AI
  • Seorang wanita berusia 55 tahun, Haliza Palok, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan memperdagangkan kanak-kanak lelaki dan remaja perempuan untuk tujuan eksploitasi di Senai Airport City pada Disember 2024.
  • Kes didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM17,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua penjamin dan syarat tambahan, manakala kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Ogos depan.

Tertuduh, Haliza Palok, 55, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok.
Berdasarkan pertuduhan, Haliza didakwa memperdagangkan kanak-kanak lelaki berusia antara 10 hingga 12 tahun serta remaja perempuan berumur antara 13 hingga 15 tahun, dengan mengeksploitasi mereka untuk aktiviti melanggar undang-undang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Kargo 2, Senai Airport City, kira-kira jam 6.54 petang pada 19 Disember 2024.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 [Akta 670], yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau lima tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia, Tan Yen Thung, manakala tertuduh diwakili peguam, Amarpreet Singh Rajwinder Singh.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan serta syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke Pejabat Imigresen Johor sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya tidak mengetahui akan didakwa hari ini dan menyatakan bahawa wanita tersebut serta suaminya kini tidak bekerja.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM17,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua penjamin berserta syarat tambahan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Ogos depan bagi tujuan penyerahan dokumen.
#pemerdangan manusia #warga filipina #Imigresen #kanak-kanak warga asing