SHAH ALAM: Seorang wanita didenda RM75,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan kerana memberi suapan RM15,000 kepada pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengelakkan tindakan undang-undang terhadap premis pemprosesan sisa elektronik (e-waste) haram, tahun lepas.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Chan Suit Seong, 60, yang turut berdepan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan pilihan, Chan didakwa secara rasuah memberikan wang tunai RM15,000 kepada Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap premis disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana tidak mempunyai lesen premis ditetapkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah tapak melibatkan tiga lot tanah di Revolusi Hijau Batu, Johan Setia, Klang pada kira-kira 12.30 tengah hari, 25 Feb 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi, manakala tertuduh diwakili peguam S. Preakas.
Mahkamah turut memerintahkan wang sitaan berjumlah RM15,000 yang menjadi bahan kes dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia melalui Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Kes itu merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan menerusi Operasi Nature 6.0 yang dijalankan SPRM Selangor.
-- BERNAMA