Wanita dipercayai alami 'halusinasi' di atas pokok akhirnya diselamatkan

Muhafandi Muhamad
Disember 8, 2021 05:36 MYT
Wanita itu telah memanjat pokok berkenaan sehingga ketinggian 30 kaki (9.1 meter). - JBPM
JELI: Seorang wanita berusia 51 tahun terpaksa diselamatkan melalui khidmat khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Jeli selepas dipercayai dalam keadaan berhalusinasi dan tidak dapat turun dari sebatang pokok di Kampung Lubok Dulang, Ayer Lanas, pada pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Adni Ibrahim ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, mangsa tidak dapat turun dari pokok yang ketinggiannya lebih 30 kaki (9.1 meter).
Jelasnya, dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi itu, ahli keluarga mangsa telah menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Pihaknya bersama sembilan anggota melakukan tindakan penyelamatan menggunakan tangga dan peralatan keselamatan untuk membawa turun wanita itu.
Mangsa berjaya dibawa turun dan diserahkan kepada ahli keluarga.
Menurut Adni lagi, mangsa dipercayai dalam keadaan separuh sedar dan sedang dalam aksi ‘memanggil-manggil’ ketika berada di atas pokok berkenaan.
#wanita atas pokok #bomba #jeli #Kampung Lubok Dulang