MALAYSIA

Wanita direman terlibat penyelewengan dana zakat

Ernalisa Othman 19/10/2025 | 09:00 MYT
Modus operandi dipercayai melibatkan kelulusan dana kepada individu yang tidak layak, sebagai balasan kepada bayaran tertentu.
KUALA LUMPUR: Seorang bekas kakitangan sebuah badan berkanun direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan dana zakat berjumlah kira-kira RM120,000.

Suspek wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur selepas disyaki terlibat dalam sindiket penyelewengan dana bantuan kepada 28 pemohon yang tidak layak.

Menurut sumber SPRM, wanita terbabit ditahan sekitar jam 4.30 petang pada Sabtu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Difahamkan, suspek direman sehingga 22 Oktober ini bagi membantu siasatan lanjut berkaitan kes tersebut.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM2,500.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan pada bulan Mac lalu, ketika suspek masih berkhidmat di agensi berkenaan.

Sumber turut memaklumkan bahawa wang rasuah tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun bank milik syarikat yang berdaftar atas nama suspek sendiri.

Modus operandi dipercayai melibatkan kelulusan dana kepada individu yang tidak layak, sebagai balasan kepada bayaran tertentu.

Susulan tangkapan itu, SPRM dijangka akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan, termasuk penerima dana dan pegawai berkaitan.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana meminta dan menerima suapan sebagai dorongan melakukan sesuatu perbuatan.


#Seleweng dana zakat #wanita direman #Rasuah #SPRM