BATU GAJAH: Dipercayai didorang perasaan takut dan tertekan, seorang wanita tempatan berusia 39 tahun bertindak melulu melarikan diri sebelum melanggar lima kenderaan polis, di sini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, ketika kejadian anggota Balai Polis Batu Gajah sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di pekan Batu Gajah sekitar jam 2.50 petang.

"Anggota terbabit telah cuba menahan sebuah kenderaan jenis MPV Toyota Innova warna putih dalam keadaan mencurigakan.

"Pemandu kenderaan (suspek) tersebut tidak memberikan kerjasama dan telah bertindak memandu kenderaan melarikan diri secara melulu dan berbahaya.

"Suspek terus memandu kenderaan menghala ke Jalan Gopeng, Jalan Ipoh-Kampar, Jalan Malim Nawar dan terus berhenti ke lokasi jalan mati di Malim Nawar," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu katanya, dua Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Batu Gajah, tiga MPV Batu Gajah, dua MPV Kampar, dan dua kenderaan balai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar (Kuala Dipang dan Gopeng) digerakkan bagi membantu mengejar dan mengekori kenderaan suspek.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, semasa di lokasi jalan mati di Malim Nawar, suspek telah bertindak memandu untuk melarikan diri dari kepungan polis dengan melanggar beberapa kenderaan polis.

"Ketika suspek mengundurkan kenderaannya juga, (suspek) telah cuba untuk melanggar seorang anggota polis di belakang kenderaannya.

"Anggota polis tersebut telah melepaskan satu das tembakan pada tayar belakang kiri kenderaan suspek.

"Bagaimanapun, suspek terus memandu kenderaan melarikan diri. Semua elemen terus mengejar dan mengekori kenderaan suspek.

"Sampai di kilometer (km) 29 Jalan Ipoh-Lumut (arah Lumut), kenderaan suspek telah berhenti akibat kerosakan teruk pada enjin dan tayar," katanya.

Beliau berkata, suspek berjaya ditahan dan ditangkap manakala pemeriksaan pada kenderaan tidak menjumpai barangan salah.

Justeru katanya, suspek dan kenderaan dibawa ke IPD Batu Gajah bagi siasatan lanjut.

"Anggaran jarak perjalanan insiden adalah sejauh 65 km, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian awal saringan air kencing adalah negatif.

"Lima kenderaan polis mengalami kerosakan akibat dilanggar kenderaan suspek. Motif suspek bertindak lari dari pemeriksaan polis dan melanggar kenderaan polis adalah dipercayai kerana berasa takut dan marah akibat tekanan hidup," katanya lagi.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Katanya, suspek direman selama lima hari bermula semalam hingga Khamis bagi siasatan lanjut.

Masyarakat dinasihatkan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam sebarang situasi agar bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan, di samping tidak menimbulkan sebarang situasi yang mencurigakan atau provokasi.