Wanita ditahan menyamar penganjur konsert di Sabah

Afiezy Azaman
Oktober 28, 2022 03:10 MYT
Artis lelaki terbabit telah menafikan tawaran atau menandatangani sebarang kontrak menyertai konsert tersebut.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita tempatan ditahan selepas disyaki menyamar sebagai penganjur sebuah konsert yang melibatkan beberapa nama besar artis tempatan termasuk dari Indonesia.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, pihaknya menerima laporan daripada seorang artis lelaki berusia 53 tahun berhubung konsert berkenaan yang kononnya akan dibuat pada 4 November di Sabah.
"Suspek telah menawarkan penjualan tiket berharga antara RM199 hingga RM649 dan artis lelaki terbabit telah menafikan tawaran atau menandatangani sebarang kontrak menyertai konsert tersebut.
"Bertindak atas risikan, polis telah menahan wanita berusia 48 tahun yang mempunyai dua rekod jenayah lampau dan salah satunya melibatkan kes penipuan.
"Wanita terbabit direman sehingga selama tiga hari sehingga Sabtu untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Mohamad Farouk turut meminta orang ramai yang telah membuat pembelian tiket konsert agar tampil untuk membuat laporan polis bagi membantu siasatan dan boleh berhubung dengan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Ampang Jaya di talian 03-42952222.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu.
#menyamar #penganjur konsert #Mohamad Farouk Eshak #tawaran