Wanita ditemui mati ditikam di perut dan dada, dipercayai disamun

Noraniza Kamsani
September 29, 2017 11:18 MYT
Mayat Norhasilah Ismail, 34, diusung keluar oleh suaminya, Nasrul Mansor, 32, dan anggota polis selepas dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di sebuah rumah di Kampung Hijrah, hari ini. - Foto Bernama
Seorang wanita ditemui mati dengan kesan tikaman di bahagian kanan perut dan kiri dada dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Hijrah, Penor, dekat sini, hari ini.
Mayat mangsa, Norhasilah Ismail, 34, ditemui oleh suaminya, Nasrul Mansor, 32, yang baharu pulang mengambil dua anaknya dari sekolah kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berdasarkan siasatan, mangsa pulang ke rumahnya kira-kira jam 8 pagi selepas menghantar anaknya ke sekolah.
"Ketika kejadian mangsa bersama dengan anak lelakinya yang berusia empat tahun dan dipercayai diserang oleh seorang suspek dipercayai yang berada dalam rumah.
"Siasatan juga mendapati, berlaku pergelutan sebelum mangsa ditikam di bahagian kanan perut dan kiri dada menyebabkannya meninggal dunia.
"Bagaimanapun anak mangsa tidak dicederakan dan dikurung di sebuah bilik di rumah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan ada cubaan samun.
"Kita sudah minta suami mangsa untuk memeriksa sekiranya ada barangan hilang," katanya.
Katanya lagi, ketika kejadian, suami mangsa tidak berada di rumah kerana keluar bekerja awal pagi.
Abdul Aziz berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga bagi dikebumikan.
Beliau berkata, polis juga akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah berkenaan bagi mengenal pasti suspek yang melarikan diri.
"Mengikut siasatan awal, suspek dipercayai memakai topeng, bagaimanapun kita tidak pasti kenderaan digunakannya. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
#Abdul Aziz Salleh #Hospital Tengku Ampuan Afzan #HTAA #kamera litar tertutup #Kampung Hijrah #Kuantan #mangsa #mayat #meninggal dunia #Nasrul Mansor #Norhasilah Ismail #polis #sekolah #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #siasatan #suspek