Wanita hamil 7 anak antara yang ditahan dalam operasi AADK Kedah

Adie Sufian Zulkefli
Jun 24, 2020 04:47 MYT
Wanita antara 83 penagih dadah yang ditahan AADK Kedah dalam operasi itu sejak jam 12 tengah malam tadi. - Foto Astro AWANI
Seorang wanita hamil dua bulan antara 187 yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah dalam operasi Total Enforcement (Ops TE II), malam tadi.

Wanita berusia 37 tahun itu dan mempunyai tujuh orang anak berusia antara 12 bulan hingga 18 tahun itu ditahan bersama teman lelakinya berusia 43 tahun di kawasan Mergong, Alor Setar.


Dia antara 187 penagih dadah yang ditahan AADK Kedah dalam operasi itu sejak jam 12 tengah malam tadi.
Wanita itu memberi alasan terjebak dengan dadah sejak berpisah dengan bekas suaminya dan menjalinkan hubungan dengan teman lelakinya yang juga seorang penagih dadah.
Katanya, enam daripada anaknya adalah hasil perkahwinannya sebelum ini manakala anak bongsunya yang berusia 12 bulan adalah anak hasil hubungan sulitnya dengan teman lelaki.
"Ambil 'ubat' heroin selepas bercerai, 'tension' lebih kurang macam itulah. (Ambil dadah) dari kawan-kawan, kira sehari dua kali ambil," akuinya ketika ditemui di lokasi.
Wanita itu kemudiannya dibawa ke pejabat AADK Kota Setar untuk tindakan lanjut.
Operasi yang bermula jam 12 tengah malam itu tertumpu di daerah Kuala Muda, Kubang Pasu, Pokok Sena/Kota Setar dan Kuala Kedah.
Sementara itu menurut Pengarah AADK Kedah, Mohd Rizal Tawil, operasi Ops TE II itu tertumpu di kawasan Kuala Muda, Kota Setar/Pokok Sena, Kuala Kedah, Kubang Pasu dan Langkawi.
Beliau berkata, operasi bermula sejak 22 Jun lalu dan masih berjalan setakat ini untuk mengesan penagih dadah yang bergiat aktif di negeri ini.
"Seramai 187 orang bejaya ditahan, 187 orang juga telah di buat ujian saringan ujian urin dan 161 orang didapati positif dadah dan 26 orang pula negatif ujian saringan. Lelaki 156 orang lelaki dan wanita 5 orang," kata Mohd Rizal.
Mohd Rizal berkata, dua remaja lelaki berusia 13 dan 15 tahun yang turut ditahan tidak bersekolah.
Beliau berkata, 11 daripadanya termasuk pengedar dadah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi disertai seramai 127 anggota dan pegawai AADK Kedah dan dibantu 15 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 13 dari Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan sembilan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Daripada jumlah itu, 83 daripada yang ditahan itu positif methapethamine, 77 orang positif opiate dan seorang ganja.
Mohd Rizal berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 pindaan 1988.
#Alor Setar #APMM #Dadah #Kubang Pasu #lelaki #Malaysia #operasi #PDRM #polis #Polis Diraja Malaysia #Rasuah #SPRM #ujian saringan