Seorang wanita hamil antara empat mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan pada Sabtu.

Kemalangan berlaku di Kilometer 31 Jalan Kuala Terengganu-Setiu berhampiran Kampung Pakoh Jaya, Kuala Nerus.

BACA: Empat maut nahas dua kenderaan di Kuala Nerus

Kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu mengorbankan pasangan suami isteri Hafiz Mohd Ibrahim, 29, bersama isterinya yang dipercayai hamil, Siti Nur Shahila, 26, yang dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Kuala Nerus.

Manakala dua lagi yang maut, pemandu kereta Peugeot, Anuar Said, 59, dan isterinya Che Khasliza Che Hussin, 53.

Insiden berkenaan turut menyebabkan anak pasangan itu Nurul Nadirah Anuar, 13, mengalami kecederaan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Peugeot yang dipandu Anuar bertembung dengan kereta Wira Aeroback dari arah bertentangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Abd Razak Hassan berkata pertembungan itu menyebabkan keempat-empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat, manakala mangsa cedera diberi rawatan di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.