"Wanita itu akan diambil tindakan" - Ketua Polis Negara

Aizat Sharif
Julai 16, 2014 07:38 MYT
Polis akan mengambil tindakan terhadap wanita tersebut kerana dikatakan bertindak sebagai pembuli jalan raya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu bahawa polis akan mengambil tindakan terhadap wanita yang mengamuk sambil mengeluarkan pengunci stereng terhadap seorang pesara yang secara tidak sengaja melanggar kereta wanita tersebut di Kuantan pada Isnin lalu.
“Sudah tentu itu bukanlah cara yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah tersebut dan undang-undang tidak boleh diletakkan di tangan sendiri,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis yang berlangsung di ibu negara.
Tambahnya lagi, pihaknya telah melihat video tersebut dan wanita berkenaan ternyata menunjukkan sikapnya sebagai seorang pembuli jalan raya dan satu laporan polis akan dibuat terhadap wanita berkenaan.
“Tidak kiralah sama ada lelaki berkenaan ada membuat laporan polis atau tidak, kita akan mengambil tindakan terhadap wanita itu.”
Semalam video seorang wanita di Kuantan yang mengamuk sambil mengeluarkan pengunci stereng sebagai ancaman kepada seorang lelaki warga emas yang didakwa melanggar keretanya menjadi viral di jaringan sosial.
Hari ini, lelaki warga emas terbabit difahamkan telah memaafkan perbuatan wanita berkenaan.
#Ketua Polis Negara #Kuantan #polis #wanita