MALAYSIA

Wanita ludah, agresif terhadap polis direman dua hari

Adie Sufian Zulkefli 01/01/2026 | 02:20 MYT
Wanita yang bertindak agresif terhadap anggota polis dan mengganggu ketenteraman awam di Mergong pada Selasa, direman dua hari di Majistret Mahkamah Alor Setar hari ini. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Seorang wanita yang bertindak agresif terhadap anggota polis dan mengganggu ketenteraman awam di Mergong di sini, pada Selasa, direman dua hari.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Alor Setar, Nur Syifa Mohd Hamzah bermula hari ini sehingga 2 Jan bagi membantu polis melengkapkan siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata suspek berusia 34 tahun itu, disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam semasa menjalankan tugas.

Serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan, kerana dengan sengaja mengeluarkan kata-kata yang boleh mendatangkan kemarahan atau menyinggung perasaan penganut mana-mana agama dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Syed Basri berkata, suspek ditahan kira-kira 2.30 petang Rabu selepas laporan diterima berkaitan seorang individu dipercayai kurang siuman telah menumbuk seorang pekerja di sebuah syarikat.

Beliau berkata, ketika kejadian, dua anggota polis ke lokasi bagi memberikan bantuan.

Katanya, setiba di lokasi, anggota polis mendapati suspek seorang wanita warga tempatan itu sedang membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam.

Syed Basri berkata, anggota polis kemudian memperkenalkan diri dan cuba menenangkan keadaan dengan memujuk suspek untuk bertenang.

Bagaimanapun suspek tiba-tiba bertindak agresif dan provokatif dengan meninggikan suara, memaki hamun, serta membuat isyarat lucah ke arah salah seorang anggota polis.

Suspek turut membaling kad pengenalan miliknya ke arah anggota tersebut.

Syed Basri berkata suspek juga meludah ke arah anggota polis berkenaan, sambil mengeluarkan kata-kata menghina agama Islam.




#penjawat awam #reman #wanita ludah polis #hina Islam