Wanita maut dibaham buaya ketika ingin buang air besar

Radhi Muslim
Disember 29, 2018 12:07 MYT
Mangsa dikejarkan ke Klinik Desa Kencana, Felda Sahabat, namun dilaporkan meninggal dunia
Hajat seorang wanita untuk membuang air besar di tebing sungai berakhir tragedi apabila dia maut disambar buaya dalam kejadian di sungai Ladang Felda Sahabat 25, di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, wanita malang dikenali sebagai Marselina Oematan, 31 tahun, dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di lengan kanan, paha kiri dan kaki kanan yang hampir putus akibat serangan reptilia berkenaan.
Sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai buruh ladang dilaporkan ingin membuang air besar di tebing sungai sebelum disambar buaya.
Mangsa ditarik ke sungai namun sempat menjerit meminta pertolongan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komiosioner Nasri Mansor berkata, rakan-rakannya yang terdengar jeritan mangsa segera memberikan bantuan dan menyerang buaya itu dengan sabit.
“Wanita itu berjaya diselamatkan dan dibawa ke Klinik Desa Kencana, Felda Sahabat.
"Bagaimanapun, doktor di klinik itu mengesahkan mangsa meninggal dunia," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Nasri berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#buang air besar #buaya #Felda #Lahad Datu #maut #meninggal dunia #Nasri Mansor #polis #serangan #wanita