BANTING: Dua lelaki Indonesia termasuk suami kepada wanita yang dibunuh di kawasan kebun pisang di Kampung Sungai Kelambu di sini dipercayai kerana cemburu disambung reman kali kedua selama tujuh hari bermula Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, lanjutan reman bagi membolehkan pihak polis melengkapkan kertas siasatan.
Advertisement
"Kes masih dalam siasatan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya bagi tujuan pertuduhan.
"Suspek ini disambung reman tujuh hari lagi untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum itu, pada jam 11.07 pagi, 15 Februari lalu polis menerima maklumat daripada orang awam berkenaan penemuan mayat seorang wanita warga Indonesia berusia 30-an dengan kesan jerutan di leher di kawasan kebun pisang di Kampung Sungai Kelambu.
Berikutan itu, dua lelaki Indonesia berusia lingkungan 30 hingga 50-an yang bekerja sebagai tukang kebun telah ditahan.
Salah seorang suspek merupakan suami kepada mangsa.
Kedua-dua suspek kemudian telah direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian