IPOH: Seorang wanita dijumpai mati dipercayai dipukul teman lelaki dalam insiden pergaduhan di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon, di sini, pada Ahad.

Susulan kejadian, polis menahan suspek utama seorang lelaki berusia 23 tahun yang mengaku memukul mangsa di lokasi kejadian.

Selain suspek, polis turut menahan tiga individu lain iaitu ibu suspek, anak saudara, dan pekerja mereka, kesemuanya berumur dalam lingkungan 29 hingga 65 tahun untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan dalam satu kenyataan berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 4.34 pagi.

Siasatan awal di tempat kejadian mendapati seorang perempuan berumur 24 tahun berada dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di atas katil.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Difahamkan suspek utama dan mangsa tinggal di rumah kedai berkenaan dengan seorang bayi berusia 8 bulan, manakala tiga individu lain datang selepas dimaklumkan suspek utama.

Yahaya berkata, mangsa dipercayai dipukul dengan sebatang kayu penyapu.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap suspek utama dan tiga individu lain mendapati teman lelaki mangsa itu positif dadah jenis Methamphetamine.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kesemua suspek direman selama seminggu hingga 1 Julai untuk siasatan lanjut.

Menurut Yahaya, bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan esok bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Polis merampas empat unit telefon bimbit dan sebatang kayu penyapu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.