Skip to main content

Malaysia

Wanita maut ditikam tiga kali, suami didakwa bermotifkan perselisihan rumah tangga

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata pemeriksaan awal mendapati dua kesan tikaman pada bahagian kiri perut mangsa, manakala satu lagi pada pipi kanan. - Gambar fail/BERNAMA
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata pemeriksaan awal mendapati dua kesan tikaman pada bahagian kiri perut mangsa, manakala satu lagi pada pipi kanan. - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang ditemukan maut dipercayai dibunuh suaminya itu mempunyai tiga kesan tikaman.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata pemeriksaan awal mendapati dua kesan tikaman pada bahagian kiri perut mangsa, manakala satu lagi pada pipi kanan.

“Bagaimanapun kita masih lagi menunggu laporan bedah siasat dan bedah siasat dijangka dilakukan esok (Sabtu),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Alzafny berkata. siasatan awal mendapati kejadian dipercayai bermotifkan perselisihan rumah tangga.

“Berdasarkan soal siasat awal ke atas suspek, pertengkaran berlaku selepas mangsa menyatakan hasrat untuk bercerai dan memaklumkan permohonan perceraian sudah difailkan ketika dia masih menjalani hukuman penjara,” tambahnya.

Menurut beliau, pasangan  itu sudah berkahwin kira-kira tujuh tahun dan dikurniakan dua anak berusia enam dan lima tahun.

Dalam perkembangan sama, Alzafny berkata polis turut menemukan sebilah pisau di atas tilam dalam bilik utama kediaman mangsa selepas tertuduh menunjukkan lokasi berkenaan.

“Pisau itu disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian dan sudah diambil untuk tindakan lanjut serta pemeriksaan forensik,” katanya.

Alzafny berkata, suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 22 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam Khamis, mangsa disyaki dibunuh suaminya di kediaman kakitangan kerajaan berkenaan.

Suspek yang juga berusia 30-an ditahan selepas dikatakan menyerah diri di balai polis.

Difahamkan suami mangsa baru dibebaskan dari penjara Rabu lalu berhubung kes dadah.
 

Must Watch Video

Advertisement