TAPAH: Seorang wanita maut, manakala ibu bapanya cedera apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 yang mereka naiki terbabas lalu terjatuh dari jambatan di Kilometer 313.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat sini, petang Khamis.

Mangsa, V.K Yuvabarathi, 24, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 2 petang ketika keluarga tersebut dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Kedah.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mereka hilang kawalan dan telah melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri sebelum terjatuh ke bawah jambatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, dalam kemalangan itu, pemandu V. V. Kunalan, 59, cedera ringan di dada manakala isterinya M. Nirmala Devi, 56, yang duduk di bahagian penumpang hadapan, cedera parah di kepala.

Beliau berkata kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, kata Wan Azharuddin, Yuvabarathi yang dibawa ke HRPB disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.35 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.