Wanita maut jatuh dari tingkat tujuh bangunan hospital

Astro Awani
Oktober 14, 2014 17:26 MYT
Mangsa Teoh Ah Fong, 49 ditemui pekerja pembersihan dalam keadaan mengerikan dengan kecederaan parah di kepala. -Gambar fail
Orang awam yang sedang menikmati sarapan pagi di kantin Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah gempar apabila seorang wanita terjatuh dari tingkat tujuh bangunan hospital terbabit.
Mangsa Teoh Ah Fong, 49 ditemui pekerja pembersihan dalam keadaan mengerikan dengan kecederaan parah di kepala di bahagian sudut bangunan berdekatan Jabatan Forensik hospital tersebut, kira-kira jam 7.30 pagi Selasa.
Menurut suami mangsa, Tan Ah Keat, 55, dia menghantar isterinya ke bahagian kecemasan hospital bagi mendapatkan rawatan selepas dia mengadu sakit ketika membuang air kecil kira-kira jam 1.30 pagi.
Bagaimanapun dia pulang semula ke rumah untuk menghantar anak perempuannya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dikatakan mengantuk dan mahu pulang.
Bagaimanapun, kira-kira pukul 9 pagi dia dihubungi polis memaklumkan bahawa isterinya ditemui meninggal dunia akibat terjatuh di hospital.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
Siasatan polis melalui Kamera Litar Tertutup (CCTV) di blok I mendapati mangsa menuju ke lif pada jam 3.30 pagi seterusnya keluar ke tingkat 7 bangunan yang sama.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan patah tengkuk.
Kes diklasifikasi mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.
#Hospital Sultanah Bahiyah #Tan Ah Keat #Teoh Ah Fong #terjatuh #wanita