BATU PAHAT: Seorang wanita maut manakala dua cedera termasuk seorang kanak-kanak selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Parit Yaani, Parit Tengah, Yong Peng, dekat sini pada Rabu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shahril Razali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada jam 6.53 pagi.

Susulan itu katanya, seramai enam anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Terdapat tiga mangsa dalam kereta tersebut. Seorang wanita dewasa berusia 30-an cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian.

"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Sementara seorang lelaki berusia 30-an patah bahu sebelah kiri dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera di bahagian belakang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, kedua-dua mangsa diberikan rawatan kecemasan oleh anggota unit EMRS sebelum dihantar ke hospital di sini, operasi tamat pada jam 8.43 pagi.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.