MARAN: Seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah selepas kereta Toyota Vios yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok di Taman Rantau Perintis, Bandar Pusat Jengka, pada Khamis.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.00 malam.

Susulan itu, katanya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jengka bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan laporan Komander Operasi, wanita yang merupakan penumpang meninggal dunia dalam kemalangan itu, manakala pemandu lelaki yang cedera parah telah dihantar ke hospital sebelum ketibaan pihak bomba.

"Mangsa dipercayai dari arah Bandar Pusat Jengka ke Perumahan Taman Rantau Perintis telah hilang kawalan lalu terbabas sehingga melanggar sebatang pokok," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, pasukan Bomba melakukan pemeriksaan dan pemantauan di lokasi bagi memastikan keadaan selamat.

Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tujuan bedah siasat.