NATIONAL
Wanita maut terjun dari van selepas bertengkar dengan suami - Polis
Rusdi (gambar kecil) berkata, polis percaya berlaku pertengkaran antara pasangan itu sebelum kejadian.
KUALA LUMPUR: Siasatan polis mendapati wanita yang maut di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Awan Besar di sini, pada Selasa lalu, dipercayai bertindak terjun dari van yang dinaikinya.
Ringkasan AI
- Polis mendapati wanita yang maut di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Awan Besar dipercayai terjun dari van selepas bertengkar dengan suaminya mengenai penggunaan van tanpa lesen memandu.
- Suami wanita tersebut, yang berusia 50 tahun, ditahan di rumahnya di Taman Kinrara, Puchong, Selangor, pada hari kejadian dan kini direman selama empat hari untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
- Suspek yang bekerja sebagai penghantar barangan penghawa dingin mempunyai satu rekod jenayah lampau dan dua rekod berkaitan dadah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia berdasarkan hasil soal siasat yang dijalankan terhadap suami wanita berkenaan.
“Siasatan mendapati sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara pasangan itu mengenai penggunaan van oleh isterinya yang tidak memiliki lesen memandu.
“Semasa pertengkaran, wanita itu memberitahu mahu terjun sebelum benar-benar melakukannya, dan suami meneruskan perjalanan pulang ke rumah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, pada Khamis.
Rusdi berkata, lelaki berusia 50 tahun itu kemudiannya ditahan di rumahnya di Taman Kinrara, Puchong, Selangor, pada hari kejadian.
“Suspek kini direman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.”
Dalam kejadian pada jam 2.35 petang Selasa, polis menerima maklumat daripada seorang lelaki yang melihat wanita tercampak dari sebuah van, sebelum kenderaan itu terus meninggalkan lokasi kejadian di Lebuhraya Kesas.
Siasatan di lokasi kejadian mengesahkan wanita berusia 44 tahun itu telah meninggal dunia.
Susulan itu, polis menahan suami wanita terbabit kira-kira jam 6 petang pada hari yang sama.
Suspek yang bekerja sebagai penghantar barangan penghawa dingin mempunyai satu rekod jenayah lampau dan dua rekod berkaitan dadah. - Sinar Harian