Wanita mengamuk, cederakan pekerja restoran guna garpu didenda

Tertuduh, Nurfarahanim Soaid mengaku bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Hanini Abdullah dan Mohd Harith Mohd Mazlan. - Foto Astro AWANI
IPOH: Seorang ibu tunggal yang mengamuk di sebuah restoran minggu lalu dihadapkan di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan.
Tertuduh, Nurfarahanim Soaid, 29, mengaku bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Hanini Abdullah dan Mohd Harith Mohd Mazlan.
Di hadapan Anis Hanini, ibu kepada tiga orang anak itu mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang pekerja lelaki dengan cara menampar dan menumbuknya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Mohd Harith pula, tertuduh yang bekerja sebagai peniaga kuih dengan pendapatan RM500 sebulan, didakwa atas dua pertuduhan.
Pertama, dia didakwa dengan sengaja mencederakan seorang lagi pekerja lelaki dengan menggunakan senjata berbahaya iaitu garpu.
Dia didakwa dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda, atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Kedua, dia didakwa dengan sengaja melakukan khianat dengan memecahkan tiga keping cermin penghadap makanan milik restoran berkenaan.
Bagi pertuduhan ini, dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah restoran di Taman Tasek Damai, dalam daerah Ipoh lebih kurang jam 6.26 pagi, 28 Januari lalu.
Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman paling minima kerana mempunyai kad Orang Kurang Upaya (OKU) kerana menghadapi penyakit bipolar disoder di samping perlu menyara tiga orang anak.
Majistret Anis Hanini menjatuhkan hukuman denda RM1,800 atau dua bulan penjara jika gagal bayar denda.
Majistret Mohd Harith pula menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau penjara 12 bulan jika gagal bayar denda bagi pertuduhan pertama dan RM4,000 atau penjara 10 bulan jika gagal bayar denda bagi pertuduhan kedua.
Pada 28 Januari lalu, media melaporkan polis menahan seorang wanita selepas disyaki mengamuk sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan mencederakan pekerja di sebuah restoran di Jalan Tawas Baru 1, Taman Tasek Damai.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


