Skip to main content

Malaysia

Wanita nadi kekuatan keluarga, penggerak kemajuan negara - PM Anwar

Sumber: Anwar Ibrahim
Anwar berkata di sebalik keluarga yang utuh dan masyarakat sejahtera, terserlah pengorbanan, ketabahan serta kebijaksanaan wanita. - Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan wanita sebagai nadi kekuatan keluarga, tiang seri masyarakat dan penggerak penting kemajuan negara.

Menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa hari ini, Anwar berkata di sebalik keluarga yang utuh dan masyarakat sejahtera, terserlah pengorbanan, ketabahan serta kebijaksanaan wanita yang tidak pernah jemu mencurahkan kasih sayang demi masa depan lebih baik.

Advertisement

“Secara peribadi, saya amat menghargai segala pengorbanan wanita dalam kehidupan saya sendiri, khususnya Azizah serta anak-anak yang sentiasa menjadi sumber kekuatan, kesabaran dan dukungan sepanjang perjalanan perjuangan ini.

“Sesungguhnya, kekuatan yang sama juga terpancar daripada jutaan wanita di seluruh negara, para ibu, isteri, anak, pendidik, penjaga dan pemimpin masyarakat yang setiap hari berjuang dalam senyap demi keluarga dan negara tercinta,” kata beliau.

Anwar turut mengajak masyarakat untuk bersama-sama menghargai peranan dan sumbangan besar wanita serta memastikan golongan itu terus dihormati, diperkasakan dan diberikan ruang yang adil untuk menyumbang kepada kemajuan negara.

“Kalian adalah kekuatan, harapan dan masa depan negara,” kata beliau.

-- BERNAMA

Must Watch Video