"Rasa seronok sangat dapat jumpa Datuk Zaidi, tapi sayangnya, mata dah tak nampak."

Hanya itu yang dizahirkan Embun Ibrahim, 49 tahun, dari Kampung Mengkuang Titi di sini, yang terharu apabila akhirnya dapat bertemu dengan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Dalam nada sebak, Embun berkata sejak lima tahun lalu dia aktif bersama jentera Wanita UMNO dan mula menyimpan hasrat untuk membantu parti berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi memenangkan calon kawasan Permatang Pauh dan Penanti.

Namun, kini semuanya terpaksa dilupakan berikutan masalah penglihatannya.

Menurutnya, sejak sebulan lalu, penyakit 'katarak mata' yang dihidapinya semakin serius, menyebabkan kedua-dua belah matanya rosak sehingga tidak boleh melihat lagi.

Mohd Zaidi berbual mesra bersama Embun ketika melawat wanita itu di rumahnya siang tadi. - Astro AWANI
"Sebelum ini, merata-rata kami pergi mengikut parti. Tetapi selepas hilang penglihatan, saya tidak boleh pegi mana dah. Rasa geram sangat.

"Tetapi hari ini saya rasa seronok dapat berjumpa Datuk Zaidi. Dari dahulu saya teringin hendak berjumpa dengannya. Saya seronok dia datang ke rumah saya," kata Embun.


Sementara itu, Mohd Zaidi juga melahirkan rasa terharu dengan semangat wanita itu yang tetap menyatakan sokongan kepadanya walapun sudah hilang penglihatannya.

Beliau yang dalam rangka berkempen sempat meluangkan masa bertemu dengan penyokongnya dan memberi semangat kepada Embun yang dijadualkan menjalani pembedahan matanya pada petang Rabu.

"Hari ini, saya hadir ke Kampung Mengkuang Titi untuk berjumpa dengan wanita ini, untuk beri sokongan kepada beliau agar proses perubatannya berjalan dengan baik. Mudah-mudahan, dapat melihat semula pada masa akan datang.

"Saya ucap terima kasih kepada penyokong yang tetap setia, yang tetap dokong kami selama ini,” ujar Mohd Zaidi ketika lawatannya ke rumah Embun.

Tambahnya, kisah Embun mendapat perhatiannya selepas anak perempuan wanita berkenaan memuat naik status di media social mengenai keinginan ibunya untuk bersua muka dengan calon BN Parlimen Permatang Pauh itu.

Turut hadir bersama ialah calon BN DUN Penanti, Suhaimi Sabudin.